Program
motivasi yang dianjurkan oleh pelbagai pihak bertujuan untuk membantu
kecemerlangan pelajar dari pelbagai aspek. Huraikan kelebihan program tersebut
kepada pelajar.
Rangka karangan
Pendahuluan
- pelbagai program motivasi dianjurkan oleh pelbagai pihak untuk
kecemerlangan akademik dan sahsiah
Isi-isi
Penting
i. melatih pelajar dari aspek ketahanan
diri dan bersikap yakin diri
ii. murid didedahkan tentang teknik
belajar dan teknik menjawab soalan
iii.
teknik
mengurus masa secara bijaksana
iv. mencungkil potensi pelajar
melalui aktiviti berkumpulan
v. menekankan nilai keagamaan dan
kerohanian
Penutup
- program motivasi merupakan medan terbaik untuk mendisiplinkan diri dan
menjadi insan yang cemerlang
Contoh Karangan
Program motivasi yang telah dianjurkan oleh pelbagai
pihak adalah untuk manfaat pelajar. Perkara ini turut diuar-uarkan menerusi
media massa untuk kecemerlangan pelajar dalam peperiksaan awam. Program
motivasi seperti Kem Bina Minda Cemerlang, Kem Motivasi Cuti Sekolah, Summer Camp Anak Soleh dan sebagainya menjadi
mangkin kecemerlangan pelajar. Dengan menyertai program motivasi itu, pelajar
bukan sahaja dapat mencapai kecemerlangan dalam akademik tetapi juga
kecemerlangan dalam sahsiah. Oleh sebab itu, terdapat pelbagai perkara yang
menyebabkan program motivasi yang dianjurkan oleh pihak sekolah dan swasta itu
dapat membantu kecemerlangan pelajar.
Program motivasi itu melatih pelajar dari aspek
ketahanan dan sikap yakin diri. Hal ini dikatakan demikian kerana selepas
mengikuti program itu, para pelajar mampu menghadapi cabaran dalam pelajaran
dan dalam kehidupan. Sebagai contohnya, dalam program motivasi itu para pelajar
didedahkan dengan pelbagai aktiviti yang menguji ketahanan fizikal dan keyakinan
diri para pelajar. Pengalaman dan pendedahan itu membolehkan para pelajar
bersiap sedia untuk menghadapi sebarang cabaran yang pastinya akan dihadapi oleh
setiap orang. Jadi, perkara ini membuktikan bahawa program motivasi berupaya
untuk meningkatkan daya tahan pelajar untuk menempuh kehidupan yang penuh
dengan cabaran.
Selain itu, dalam program motivasi itu juga, para
pelajar didedahkan tentang teknik belajar dan teknik menjawab soalan yang
betul. Penganjur program kebiasaannya akan menyediakan pakar-pakar yang mahir
dalam kemahiran belajar, ibarat jauhari yang mengenal manikam. Melalui cara itu, para pelajar
akan menggunakan pengetahuan mereka untuk belajar secara berkesan selepas
menamatkan program tersebut. Di samping itu, para pelajar dapat mengetahui
teknik untuk menjawab soalan seperti yang dikehendaki oleh pemeriksa dalam
peperiksaan. Jelaslah bahawa program ini memberikan kebaikan yang banyak kepada
pelajar untuk mencapai kecemerlangan dalam peperiksaan.
Melalui program motivasi ini, para pelajar
diperkenalkan tentang teknik mengurus masa yang berkesan. Perkara itu
dapat membantu pelajar mengurus masa dengan bijaksana dan berkesan. Jadi,
aktiviti seharian pelajar dapat dijalankan secara teratur kerana masa mereka
terisi dengan perkara yang sesuai dan berfaedah. Sebagai contohnya, program
seperti itu membantu pelajar membuat perancangan aktiviti harian, mingguan dan
bulanan yang berkesan untuk manfaat pelajar. Hal ini memang membuktikan bahawa
program tersebut berupaya untuk menjadikan pelajar itu bijak mengurus masa
kerana masa itu emas.
Program motivasi yang dijalankan itu turut mencungkil
potensi pelajar dalam pelbagai bidang. Hal ini dapat dilihat melalui aktiviti
berkumpulan yang dimasukkan sebagai pengisian program yang penting. Melalui
aktiviti tersebut, pelajar akan sedar akan potensi diri sendiri yang selama ini
terpendam kerana tuah ayam nampak di kaki, tuah manusia tiada yang tahu. Di samping itu, program seperti
itu dapat membantu murid agar sentiasa bersikap dan berfikiran positif dalam
apa-apa aktiviti yang dilakukan. Potensi diri yang terpendam itu pula dapat
digilap dan dibimbing ke arah yang lebih baik demi kemajuan diri pelajar dalam
segenap bidang.
Tidak ketinggalan juga, program motivasi turut
menekankan nilai keagamaan dalam diri pelajar. Para pelajar akan sedar akan
tanggungjawab mereka terhadap diri, keluarga, masyarakat, negara, dan agama.
Pihak penganjur program biasanya akan menyediakan pakar motivasi dalam bidang
agama untuk membimbing pelajar ke arah penghayatan terhadap agama yang sebenar.
Pakar-pakar itu akan menekankan aspek pengetahuan, kefahaman dan penghayatan
terhadap tanggungjawab setiap insan terhadap pencipta-Nya. Secara tidak
langsung, perkara ini akan membentuk sahsiah dan memantapkan aspek kerohanian
yang cemerlang dalam kalangan pelajar yang menyertai program itu.
Sebagai kesimpulannya, program motivasi merupakan
medan yang terbaik untuk setiap pelajar mendisiplinkan diri dan menjadi insan
yang cemerlang. Oleh sebab itu, ibu bapa perlulah menghantar anak mereka untuk
menyertai program motivasi yang sesuai untuk anak-anak mereka. Jangan biarkan
masa anak-anak terbiar dan tidak diisi dengan aktiviti yang tidak berfaedah
semasa cuti sekolah yang panjang. Jadi, ibu bapa harus memberikan galakan
dan menyokong usaha pelbagai pihak yang menganjurkan program itu untuk kebaikan
anak-anak mereka. Dengan cara itu, kita berharap agar para pelajar ini akan
menjadi orang yang cemerlang dalam pelajaran dan berjaya dalam kehidupan
mereka.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan