Baca petikan prosa tradisional di bawah dengan teliti, kemudian jawab soalan-soalan yang berikutnya dengan menggunakan ayat anda sendiri.
Setelah itu maka Inderaputera melihat laku yang demikian itu. Maka tuan puteri pun membukakan pakaiannya lalu bergosokkan bedak dan langgir. Maka segala bidadari pun bergosokkan juga seraya turun berenang mandi bersembur-semburan. Hatta maka segala kelakuan puteri itu pun habislah dilihat oleh Inderaputera dan bidadari pun selam-menyelam ketujuhnya itu sambil berpantun dan berseloka. Maka Inderaputera pun hairanlah melihat laku tuan puteri dan mendengar suara tuan puteri itu pun terlalu amat merdu.
Maka Inderaputra pun berbangkit perlahan-lahan mengambil bajunya tuan puteri yang bernama antakesuma dan segala baju bidadari itu. Setelah sudah diambilnya baju itu maka segeralah ditaruh oleh Inderaputera ke dalam lubang yang diperbuat itu. Setelah sudah lalu ia kambus dengan tanah seperti sediakala rupanya. Maka ia pun berlindung dirinya di balik pohon kayu tiada kelihatan oleh segala bidadari.
Arkian maka Inderaputera pun segera turun ke dalam tasik itu dan dicitanya kepada tempat mandi tuan puteri. Maka ia pun turunlah mandi. Maka dicubitnya pinggang tuan puteri itu. Maka lalu terkejutlah tuan puteri seraya ia berbangkit daripada mandi itu lalu datang ke tepi tasik itu. Maka rambutnya Tuan Puteri Seri Ratna Nehran pun terhamparlah ke tanah seperti mayang di atas talam rupanya.
Maka ujar tuan puteri itu kepada bidadari seraya memegang kainnya itu katanya, ”Kita dipagut oleh ular gerangannya tadi rasanya.”
(Dipetik daripada prosa tradisioanal Dua Geliga Hikmat dalam antalogi Dirgahayu Bahasaku, Dewan Bahasa dan Pustaka)
1. Berikan maksud rangkai kata terhamparlah ke tanah.
[ 2 markah ]
2. Berdasarkan petikan, apakah langkah-langkah yang dilakukan oleh Inderaputera untuk mendapatkan baju Tuan Puteri Seri Ratna Gemala?
[ 3 markah ]
3. Sekiranya anda Tuan Puteri Seri Ratna Gemala, apakah reaksi anda apabila mendapati bahawa baju antakesuma telah dicuri ? [ 3 markah ]
Cadangan Jawapan Set 1 Prosa Tradisional Dua Geliga Hikmat
1. Maksud terhamparlah ke tanah seperti mayang di atas talam rupanya ialah
- terjatuh ke bumi / terbaring /
2. Langkah yang dilakukan oleh Inderaputera untuk mendapatkan baju tuan puteri ialah
- Inderaputera bangun perlahan-lahan mengambil baju antakesuma
- Inderaputera meletakkan baju di dalam lubang
- Inderaputera menutup/mengambus lubang
- Inderaputera bersembunyi di sebalik pohon kayu
- Inderaputera masuk ke dalam tasik .
3. Sekiranya saya Tuan Puteri Ratna Gemala, reaksi saya apabila mendapati baju antakesuma telah dicuri ialah
- rasa bimbang / risau / sedih
- cuba mencari baju yang hilang
- meminta pertolongan daripada dayang
- berdoa agar baju ditemui / dipulangkan / supaya orang yang mencuri baju memulangkan baju
Set 2 Prosa Tradisional Dua Geliga Hikmat
Baca petikan prosa tradisional di bawah dengan teliti, kemudian jawab soalan-soalan yang berikutnya dengan menggunakan ayat anda sendiri.
Hatta kalakian, datanglah kepada cetera Tuan Puteri Seri Ratna Gemala Nehran duduk semayam dihadap oleh segala bidaddari dan dayang-dayang. Maka tuan puteri pun bersenda-senda dan bergurau-gurau dengan segala bidadari itu.
Maka berdatang sembah bidadari, “ Ya tuanku tuan puteri, pada hari ini patik lihat muka tuan puteri pucat tiada berseri-seri. Apakah gerangan sebabnya itu patik lihat seperti bunga delima kena panas?”
Maka Tuan Puteri Seri Ratna Gemala Nehran pun tersenyum mendengar sembah bidadari itu. Maka ujar, Tuan Puteri, “Kita telah bermain-main semalam tadi dengan biti-biti itu. Maka kita tidur lalu bermimpi hampir dinihari juga rasanya. Maka datang seekor naga maka dipagutnya pinggangku, tiada lekat pada tubuhku rasanya dan aku lihat rupa naga itu terlalu indah-indah sekali. Seketika kita berselimut bau bunga rasanya, dan bau bunga itu pun datang sekarang pada hidungnya kita rasanya. Kita cium baunya itu tiada berkeputusan adanya. Hatta maka naga itu pun melancar ke atas kemuncak mahligai ini. Maka ditelannya gemala yang di atas kemuncak mahligai ini. Sebab itulah mukaku pucat ini.”
Segala bidadari itu pun berdatang semabah seraya tertawa, “Segera rupanya tuan puteri ini akan kahwin dengan paduka kekanda itu Raja Dewa Lela Mengerna itu.”
(Dipetik daripada prosa tradisional Dua Batu Geliga dalam antalogi Dirgahayu Bahasaku, Dewan Bahasa dan Pustaka)
(i) Berikan maksud rangkai kata tiada berkeputusan adanya. [ 2 markah ]
(ii) Mengapakah muka tuan puteri kelihatan pucat tidak berseri-seri seperti dalam petikan? Berikan 3 alasan anda. [ 3 markah ]
(iii) Apakah tindakan yang akan anda lakukan sekiranya anda mengalami mimpi seperti yang dialami oleh tuan puteri [ 3 markah ]
Cadangan Jawapan Set 2 Prosa tradisional Dua Geliga Hikmat
1. Maksud tiada berkeputusan adanya ialah
bau dapat dihidu sepanjang waktu / lama/berpanjangan/tidak terhenti/sentiasa dapat dihidu/tidak hilang
2. Muka tuan puteri kelihatan pucat tidak berseri adalah kerana
- tuan puteri bermimpi sewaktu tidur
- seekor naga telah menggigitnya tetapi tiada kesan
- rupa naga tersebut terlalu indah
- puteri dapat menghidu bau bunga ketika berselimut
- naga naik ke puncak mahligai .
- naga menelan gemala
3. Tindakan yang akan saya lakukan sekiranya bermimpi seperti tuan puteri ialah
• menceritakan kepada rakan/kenalan rapat/keluarga terdekat
• Meminta nasihat daripada orang yang berpengalaman
• Sembahyang dan berdoa
• mencari pentaksir mimpi untuk menjelaskan makna mimpi
Set 3 Prosa Tradisional Dua Geliga Hikmat
Baca petikan prosa tradisional di bawah dengan teliti, kemudian jawab soalan-soalan yang berikutnya dengan menggunakan ayat anda sendiri.
Maka sahut tuan puteri itu, “Hai kekanda, ambillah gemala hikmat itu oleh kekanda! Adapun pergunanya hikmat itu terlalu banyak. Adapun jikalau saudaraku hendak buat negeri, maka citalah nenek hamba Dewa Langkurba yang di dalam laut supaya jadi suatu negeri dengan alatnya takhta kerajaannya dan segala hulubalangnya dan rakyatnya sekalian itu dan biti-biti perwara dan serta jin, peri, dewa dan mambang lengkaplah dengan senjatanya. Adapun hulubalangnya ada dua orang, seorang bernama Dikar Kilat dan seorang Dikar Agus dan Dikar Kilat jikalau saudaraku hendak menyuruhkan kepada suatu negeri atau ke dalam laut, maka dengan seketika itu juga ia pergi datang. Adapun Dikar Agus itu jikalau saudaraku hendak menyuruhkan menurunkan hujan atau angin atau api nescaya dapat olehnya. Demikianlah gunanya gemala hikmat itu. Adapun jikalau lain daripada saudaraku nescaya tidaklah hamba berikan.”
Maka kata Inderaputra, “Wahai adinda, sungguhlah tuan kasih kepada kekanda dan apalah kekanda hendak balaskan kasih adinda itu kandalah yang menanggung kasih adinda!”
Maka gemala hikmat itu pun diberikan kepada Inderaputera. Maka Inderaputra pun mengambil gemala hikmat itu dengan sukacitanya. Setelah itu maka nikmat pun diangkat oranglah ke hadapan Inderaputra. Maka ia pun makanlah dengan tuan puteri pelbagai nikmat.
( Dipetik daripada prosa tradisional
Dua Batu Geliga dalam antalogi Dirgahayu Bahasaku,
Dewan Bahasa dan Pustaka)
(i) Berikan maksud rangkai kata nikmat pun diangkat oranglah. [ 2 markah ]
(ii) Berdasarkan petikan, jelaskan keistimewaan gemala hikmat yang diberikan oleh tuan puteri kepada Inderaputera. [ 3 markah ]
(iii) Berikan alasan mengapa anda akan memberikan gemala hikmat kepada
Inderaputera? [ 3 markah ]
Cadangan Jawapan Set 3 Prosa Tradisional Dua Geliga Hikmat
1. Maksud nikmat pun diangkat oranglah ialah
- hidangan makanan disajikan
2. Keistimewaan gemala hikmat ialah
- Inderaputera boleh menyeru Dewa Langkurba apabila hendak membina sebuah negeri yang lengkap
- Dua orang hulubalang iaitu Dikir Kilat dan Dikir Agus boleh dipanggil
- Dikir Kilat boleh dipanggil untuk pergi ke sesebuah negeri atau ke dalam
laut
- Dikir Agus boleh dipanggil untuk menurunkan hujan dan
api
• Alasan saya memberikan gemala hikmat kepada Inderaputera adalah kerana
• menunaikan janji
• sebagai tanda kasih/sayang
• sebagai cenderamata kenang-kenangan
• sebagai tanda terima kasih
• sebagai tanda persahabatan
Cikgu Chom
Sumber: Blog cikgu Latifah
1 ulasan:
Terima kasih atas perkongsian cikgu amat dihargaikan.
Catat Ulasan