HALAMAN 2

Isnin, 15 Ogos 2016

TATABAHASA - PENGGUNAAN "DI ANTARA" DAN "ANTARA"

PENGGUNAAN "DI ANTARA" DAN "ANTARA"

Banyak pengguna bahasa menyalahgunakan frasa di antara dengan antara. Oleh sebab itu, saya ingin menerangkan perbezaan antara kedua-dua frasa ini.

Frasa sendi nama di antara digunakan apabila kata antara berfungsi sebagai kata nama. Frasa sendi nama di antara hanya dapat digunakan untuk menunjukkan kedudukan fizikal atau tempat.

Contohnya:
1.
Anak kecil itu duduk antara ibu dengan bapanya.(salah)
Anak kecil itu duduk di antara ibu dengan bapanya. (betul)

2.
Tambak Johor terletak antara Johor Bahru dengan Singapura. (salah)
Tambak Johor terletak di antara Johor Bahru dengan Singapura. (betul)

Kata antara yang berfungsi sebagai kata sendi nama boleh mendahului ayat yang menunjukkan perbandingan.
Contohnya:

3.
Di antara ilmu perubatan dengan ilmu biologi ada persamaannya. (salah)
Antara ilmu perubatan dengan ilmu biologi ada persamaannya. (betul)

4.
Di antara Fatimah dengan Rahmah banyak perbezaannya. (salah)
Antara Fatimah dengan Rahmah banyak perbezaannya. (betul)


Kata sendi nama antara biasanya diikuti oleh kata nama am yang tidak perlu diulang.

Contohnya:
5.
Antara lagu-lagu persembahannya ialah “Janji Manismu” dan “Kau Mawarku”. (salah)
Antara lagu persembahannya ialah “Janji Manismu” dan “Kau Mawarku”.  (betul)

6.
Antara faktor-faktor murid ponteng sekolah ialah pengaruh rakan sebaya. (salah)
Antara faktor murid ponteng sekolah ialah pengaruh rakan sebaya.  (betul)

Kata sendi nama antara hanya dapat diikuti kata nama am jamak yang mengalami penggandaan separa seperti adik-beradik yang membawa makna kumpulan orang dan sebagainya yang tertentu.

Contohnya:
7.
Mereka berbincang di antara adik-beradik. (salah)
Mereka berbincang antara adik-beradik. (betul)

Kata sendi nama antara boleh juga diikuti oleh bilangan tentu seperti dua, tiga, sepuluh, seribu dan sebagainya, kata bilangan tidak tentu seperti beberapa, semua dan sebagainya, dan kata bilangan himpunan seperti kedua-dua, ketiga-tiga, beratus-ratus dan sebagainya.

Contohnya:
8.
Jarak di antara dua buah bangunan itu jauh. (salah)
Jarak antara dua buah bangunan itu jauh. (betul)

Kata sendi nama antara juga boleh diikuti oleh kata ganti nama diri seperti mereka, kita dan -nya.

Contohnya:
9.
Di antara mereka, banyak persamaannya. (salah)
Antara mereka, banyak persamaannya. (betul)

10.
Jangan ada dusta di antara ahli kita. (salah)
Jangan ada dusta antara ahli kita. (betul)

Kesimpulannya, terdapat perbezaan yang jelas antara kata sendi nama antara dengan kata arah di antara, sama ada dari segi golongan kata mahupun penggunaannya. Oleh itu, sebagai pengguna bahasa yang peka kepada perbezaan tersebut,  

Tiada ulasan: