HALAMAN 2

Jumaat, 24 Julai 2020

HEBAT RUMUSAN SET 10- CABARAN DALAM MELAKSANAKAN KONSEP PEMBELAJARAN MAYA



HEBAT RUMUSAN 10

Baca petikan berikut dengan teliti, kemudian buat rumusan tentang cabaran-cabaran dalam melaksanakan konsep pembelajaran maya dan inisiatif-inisiatif untuk menggalakkan konsep pembelajaran maya. Panjangnya rumusan hendaklah tidak melebihi 120 patah perkataan.

Konsep pembelajaran maya sudah menjadi satu realiti dengan adanya platform pembelajaran maya yang semakin hari semakin pesat dibangunkan oleh syarikat pembelajaran maya di Malaysia. Hal ini sesuai dengan konsep pembelajaran abad ke-21 yang semakin hari semakin mendapat tempat dalam hati pengguna Internet. Hampir 25 juta pengguna Internet di Malaysia menggunakan perkhidmatan jalur lebar dan peranti komunikasi telefon pintar berbanding dengan pengguna telefon talian tetap dan perkhidmatan-perkhidmatan lain. Namun begitu, sebanyak 23.1% penduduk di negara ini yang tidak memiliki akses Internet telah menjadi halangan kepada pelaksanaan pendidikan maya ini.

Berdasarkan perspektif yang berbeza, ibu bapa pada masa ini masih belum dapat menerima konsep pembelajaran maya sepenuhnya kerana mereka beranggapan bahawa pembelajaran secara konvensional di dalam kelas lebih efektif. Ibu bapa lebih meyakini guru dapat memantau perkembangan anak-anak mereka di dalam kelas. Pada masa yang sama, minda mereka belum terbuka untuk menerima gaya pembelajaran alaf baru. Selain itu, masyarakat juga beranggapan anak-anak mudah menyalahgunakan Internet untuk mengakses laman-laman yang tidak bermanfaat. Hal ini dibuktikan dengan peratus penggunaan Internet untuk pengisian hiburan seperti permainan dalam talian dan sembang amat tinggi dalam kalangan murid. Natijahnya, ramai murid yang mengabaikan pelajaran dan terlibat dengan perkara-perkara negatif.

Menerusi platform pendidikan maya, murid dapat mengelakkan diri daripada menjadi jaguh siber yang membazirkan masa semata-mata. Mereka juga dapat memasuki alam pembelajaran yang diperkenalkan oleh platform pendidikan maya. Selain itu, platform ini mampu mempertingkatkan kefahaman dan kualiti pembelajaran mereka. Dalam masa yang sama, ibu bapa bimbang interaksi yang terhad antara guru maya dengan muridnya dalam bidang akademik. Hal ini dikatakan demikian kerana masalah ini akan mengekang perkembangan prestasi akademik anak-anak mereka.

Persoalannya, mampukah murid-murid di Malaysia untuk mendepani serta memanfaatkan konsep pembelajaran maya pada hari ini? Hal ini berlaku kerana platform pendidikan maya bukan mudah untuk dibentuk dan operasinya memerlukan kos yang tinggi. Murid-murid milenium ini yang mudah berasa bosan juga mahu maklumat diperoleh secepat mungkin dengan konsep maklumat di hujung jari. Namun begitu, kekurangan dalam pembelajaran maya juga ialah murid tidak memiliki peranti untuk mengakses Internet. Situasi ini tidak seharusnya berlaku kerana pakej perkhidmatan jalur lebar dan peranti mampu milik sudah lama bertapak di negara kita. Kesimpulannya, pendidikan di Malaysia perlu seiring dengan perkembangan teknologi maklumat agar negara kita mampu bersaing di peringkat global.


Dipetik dan diubah suai daripada ‘Konsep Pembelajaran Maya’ Majalah Pendidik, November 2018



Soalan 2 (a) – Petikan Umum

Berdasarkan petikan Soalan 1 di atas, jawab soalan-soalan yang berikut dengan menggunakan ayat anda sendiri.


(i)
Berikan maksud rangkai kata lebih efektif.
                                                                        [2 markah]
(ii)
Menerusi platform pendidikan maya, pengarang
mengemukakan beberapa faedah yang diperoleh seseorang
murid.
Nyatakan faedah-faedah tersebut.
                                                                       [3 markah]
(iii)
Murid dapat memperoleh pelbagai maklumat daripada
Internet untuk meningkatkan pengetahuan mereka.
Pada pendapat anda, nyatakan cara-cara lain untuk
memperoleh maklumat.
                                                                       [4 markah]



         semak jawapan di sini






Tiada ulasan: