HALAMAN 2

Sabtu, 25 Julai 2020

HEBAT RUMUSAN 11 - PERSEDIAAN ASAS MENJADI USAHAWAN BERJAYA





HEBAT RUMUSAN 11

Baca petikan di bawah dengan teliti, kemudian buat satu rumusan tentang persediaan-persediaan asas menjadi usahawan berjaya dan kesannya. Panjangnya rumusan hendaklah tidak melebihi 120 patah perkataan.

Berdasarkan premis bahawa keusahawanan boleh dipelajari dan diamalkan untuk menempa kejayaan, maka terdapat beberapa keperluan asas yang harus dipupuk. Sememangnya idea perniagaan yang bernas menjadi titik permulaan tetapi hal ini tidak mencukupi untuk memastikan kejayaan yang berterusan. Penyelidikan yang diusahakan oleh Target Training International telah membuat kaji selidik terhadap 17 ribu usahawan yang berjaya. Beberapa dapatan hasil kaji selidik tersebut mendapati mereka yang telah berjaya menjadi usahawan terkemuka mempunyai personaliti seperti berkebolehan untuk memberikan keyakinan dan bertanggungjawab terhadap masyarakat Selain itu, sifat kepimpinan yang berkesan dan kebolehan berkomunikasi yang baik. Keperluan utama yang dapat memastikan sesuatu kejayaan ialah seseorang usahawan tersebut perlu menetapkan jangkaan yang realistik. Keterujaan dan keyakinan amat diperlukan bagi merancang pelan perniagaan yang harus berdasarkan realiti yang terdapat dalam pasaran.

Seseorang usahawan juga perlu memberikan nilai tawaran yang jelas iaitu produk dan perkhidmatan yang ditawarkan harus mempunyai nilai yang sebenar. Jika tawaran nilai tidak jelas, berkemungkinan perniagaan itu menemui kegagalan. Selain itu, para usahawan perlu menawarkan produk yang unik kerana hal ini membezakan produk yang dihasilkan dengan pesaing-pesaing dalam perniagaan. Mereka yang telah berjaya biasanya juga mampu menyediakan produk atau perkhidmatan yang memberikan nilai yang terbaik kepada orang ramai. Malah para usahawan yang telah berjaya juga berani meneroka pasaran yang berskala besar. Contohnya seperti Dato' Aliff Syukri yang mengusahakan produk D'Herbs, yang perniagaannya semakin berkembang maju. 

Selain mengusahakan produk yang bersifat monopoli dan sukar diperoleh, usahawan juga perlu membentuk pelan perniagaan yang berdaya maju. Dengan  adanya pelan perniagaan, usahawan dapat memasarkan produk dan perkhidmatannya dalam tempoh yang panjang kepada pelanggan yang disasarkan dengan belanjawan yang berpatutan. Pelanggan merupakan nyawa kepada sesebuah perniagaan. Usahawan yang bijak  biasanya dapat menarik pelanggannya secara berkesan. Hal ini bergantung kepada keberkesanannya dari segi kos dan jumlah pelanggan yang berupaya ditarik. Penggunaan media sosial untuk tujuan pengiklanan dan promosi, perbincangan tentang jenama, ulasan dan maklum balas tentang sesuatu produk merupakan cara yang berkesan.

Setiap individu berpeluang mengecap kejayaan sebagai seorang usahawan kerana ciri- ciri keusahawanan yang ada pada kebanyakan usahawan bukanlah dilahirkan secara semula jadi tetapi adalah disebabkan daya inisiatif yang tinggi serta keyakinan yang kuat terhadap kemampuan diri sendiri.

Dipetik dan diubah suai daripada ‘Keperluan Asas Menjadi Usahawan Berjaya’ Oleh Rahim Aziz, Dewan Ekonomi, April 2016.


Soalan 2(a) – Petikan Umum
Berdasarkan petikan Soalan 1. jawab soalan-soalan yang berikut dengan menggunakan ayat anda sendiri..

(i)           Berikan maksud rangkai kata berdasarkan realiti berdasarkan petikan.
   [2 markah]
(ii)         Pengarang menyatakan beberapa hasil kaji selidik tentang personaliti 
usahawan terkemuka. Senaraikan hasil kaji selidik tersebut
                                                                                 [3 markah]
 (iii)        Di Malaysia, keusahawanan dalam bidang pertanian kurang mendapat
            tempat dalam kalangan usahawan muda.
            Pada pendapat anda, bagaimanakah bidang ini boleh menarik 
            usahawan  muda untuk menceburi bidang tersebut
                                                                                           [4 markah]




Semak jawapan di sini