HALAMAN 2

Jumaat, 1 Oktober 2021

TATAHABAHASA SPM KSSM - PENGUKUHAN PERIBAHASA

SOALAN PERIBAHASA

Baca dialog di bawah dengan teliti kemudian jawab soalan-soalan berikutnya.

 

                   “Minggu lepas, saya sekeluarga telah pergi ke Hutan Lipur Sungkai Congkak.    Keadaan di sana amat menyedihkan.  Hati saya bagai kaca terhempas ke batu, “ kata Rosmawati

“Betulkah begitu, Rosmawati?

                    “Betul, Hasnul.  Banyak prasarana yang disediakan telah rosak dan diconteng.  Mereka tidak menghargai langsung kemudahan yang disediakan malah merosakkannya pula.  Sikap mereka ini seperti kera mendapat bunga.  Buka sahaja perlakuan vandalisme, sampah sarap pula terdapat di mana-mana.

                       “ Ye betul tu, sepatutnya, ibu bapa perlulah menunjukkan contoh kepada anak-anak agar menjaga kebersihan kawasan rekreasi bak kata orang tua-tua, bagaimana acuan begitulah kuihnya,” tambah Hasnul.

                        “Tanggungjawab dan kesedaran menjaga tempat awam perlulah dididik sejak kecil seperti peribahasa, melentur buluh biarlah dari rebungnya,” kata Rosmawati.


   Senaraikan empat peribahasa dan kemudian;

a)       Beri maksud peribahasa tersebut

b)      Bina ayat anda sendiri menggunakan peribahasa tersebut

c)       Beri peribahasa yang sama maksud dengan peribahasa tersebut.

Jawapan:

Peribahasa

1. bagai kaca terhempas ke batu

2. seperti kera mendapat bunga

3. bagaimana acuan begitulah kuihnya

4. melentur buluh biarlah dari rebungnya

 

Maksud

1. bagai kaca terhempas ke batu-Hati yang hancur kerana dukacita.

2. seperti kera mendapat bunga-Seseorang yang tidak tahu menilai pemberian orang lain.

3. bagaimana acuan begitulah kuihnya-Seseorang anak itu akan mengikut perangai ibu bapa.

4. melentur buluh biarlah dari rebungnya-Mendidik anak biarlah sejak mereka kecil lagi.

Ayat

1. bagai kaca terhempas ke batu-Ali berasa sangat sedih akibat kematian kucing peliharaannya bak kata peribahasa bagai kaca terhempas ke batu.

2. seperti kera mendapat bunga-Ali yang tidak menghargai jasa ibu bapa boleh dikaitkan dengan peribahasa seperti kera mendapat bunga.

3. bagaimana acuan begitulah kuihnya-Ibu bapa haruslah sentiasa menjaga tingkah laku diri kerana anaklah yang akan mencontohi sikap mereka bak kata peribahsa bagaimana acuan begitulah kuihnya.

4. melentur buluh biarlah dari rebungnya-Amalan menabung haruslah dipupuk oleh ibu bapa kepada anak-anak sejak kecil lagi bak kata peribahasa melentur buluh biarlah dari rebungnya.

Peribahasa sama maksud:

1. bagai kaca terhempas ke batu-bagai dihiris dengan sembilu

2. seperti kera mendapat bunga-bagai kera diberi kaca

3. bagaimana acuan begitulah kuihnya- ke mana tumpahnya kuah kalau tidak ke nasi √/Bapa borek anak rintik

4. melentur buluh biarlah dari rebungnya-  sedang rebung baik dipatah, jadi buluh melepuh jari.













Tiada ulasan: