HALAMAN 2

Selasa, 24 Ogos 2021

LATIHAN RUMUSAN KSSM - KEBAIKAN MELALUI PERMAINAN CONGKAK








Baca petikan dan sajak di bawah dengan teliti, kemudian buat satu rumusan yang panjangnya tidak melebihi 120 patah perkataan. Anda digalakkan supaya menggunakan ayat anda sendiri tanpa mengubah maksud asal petikan dan sajak.

 

Bahan 1 – Petikan


Permainan tradisional dikenali juga sebagai permainan rakyat yang dipusakai daripada generasi terdahulu. Bentuk permainan rakyat yang berseni ini merupakan salah satu daripada identiti negara yang patut dipelihara demi kepentingan generasi pada masa hadapan. Contoh permainan tradisional ialah permain guli, batu seremban, congkak, kaki gajah dan galah panjang. Antara permainan tersebut, congkak merupakan permainan tradisional yang paling popular. Walau bagaimanapun, perubahan teknologi telah mencipta pelbagai jenis permainan digital yang menjejaskan minat generasi baharu terhadap permainan tradisional, termasuklah permainan congkak.

 

Sekiranya diperhalusi, permainan congkak yang menetapkan dua orang pemain dalam satu permainan membolehkan semangat setia kawan dizahirkan yang menjadi asas kepada kerukunan hidup bermasyarakat. Di samping itu, permainan congkak dalam kalangan masyarakat terdahulu berupaya mencerdaskan ketajaman akal. Hal ini berkaitan dengan perkataan congkak itu sendiri membawa maksud pengiraan. Kemahiran pengiraan ditekankan melalui mengira mata membuktikan bahawa generasi dahulu sudah didedahkan dengan ilmu matematik. Permainan congkak juga mampu dijadikan sebagai riadah yang menyeronokkan. Permainan ini boleh mengelakkan seseorang itu daripada melakukan aktiviti yang tidak berfaedah.

 

Selain itu, permainan congkak yang mempunyai tujuh lubang sebaris dan dua lubang ibu yang dipanggil “kampung” terletak di hujung papan. Lubang ibu tersebut mestilah diisi dengan buah sebanyak mungkin untuk mencapai kemenangan. Secara tidak langsung, permainan congkak menekankan nilai kejujuran apabila pemain mematuhi peraturan permainan tanpa melakukan penipuan walaupun berkeinginan untuk memenangi pertandingan tersebut. Kegagalan generasi muda memahami falsafah ini dalam permainan congkak menyebabkan minat mereka semakin hilang. Tambahan pula, sesetengah ibu bapa pada hari ini menganggap bahawa setiap permainan tradisional termasuk congkak boleh menjejaskan masa belajar anak-anak mereka. Alangkah ruginya jika warisan dan budaya tinggalan nenek moyang tidak lagi dihargai sehingga hilang dalam arus peredaran masa.

 

    Dipetik dan diubah suai daripada ‘Memugar Permainan Tradisional,’                      Oleh Nazri Hussein, Dewan Budaya, Bil. 3/2019

Bahan 2 – Sajak

 

GADIS-GADIS YANG BERSIMPUH DI BERANDA

 

Semilir angin petang membawa simfoni damai melodi syahdu dirasakan penuh harmoni

ayu busana dan senyuman lirih kesantunan gadis-gadis yang bersimpuh di beranda bermain congkak warisan bonda.

 

Jari-jemari mengatur buah-buah congkak bagai lenggang gemalai

di medan persaingan yang menuntut ketekunan andaiannya menjangkau jauh ke hadapan menang tidak pernah sombong diri

kalah tiada terlintas rasa iri.


Gadis-gadis yang bersimpuh di beranda bermain congkak warisan bonda melestari seni budaya dalam utuh maruah moyang tercinta

tanpa gundah diri dicerca mundurnya minda.


M. Arif

Jalan Munsyi Abdullah, Melaka



Tiada ulasan: