HALAMAN 2

Selasa, 18 Jun 2013

Karangan Contoh 11 - Usaha-usaha Menjadikan Membaca Sebagai Amalan Hidup (SPM)

Membaca Jambatan Ilmu.  Membaca merupakan suatu amalan mulia yang perlu dipraktikkan dalam kehidupan remaja.  Tulis sebuah rencana tentang usaha-usaha untuk menjadikan membaca sebagai amalan hidup golongan remaja.

Analisis soalan:
Tema       -   amalan membaca
Tugasan -   menulis rencana tentang usaha-usaha untuk menjadikan membaca 
                      sebagai amalan hidup golongan remaja
Format    -   Rencana

Usaha-usaha Yang Boleh dilakukan oleh Remaja Untuk Menjadikan 
Membaca Sebagai Amalan Hidup 

Oleh:   Mohd. Aiman Naqib bin Nasruddin

         Dasar langit terbuka dan dunia tanpa sempadan pada hari ini telah menyebabkan remaja hilang keyakinan diri dan ketahanan jiwa. Mereka lebih terdorong dan gemar melakukan pelbagai aktiviti negatif seperti berpeleseran, membuli dan vandalisme. Mengapakah mereka melakukan aktiviti yang tidak mendatangkan sebarang keuntungan kepada mereka? Tidak pernahkah terdetik dalam sanubari mereka bahawa terdapat pelbagai aktiviti berfaedah yang boleh dilakukan oleh mereka khususnya dengan membaca? Apakah yang dimaksudkan dengan membaca dan apakah kepentingannya? 

     Membaca didefinisikan sebagai memerhati sesuatu yang tertulis atau tercetak dengan teliti dan memahami makna kandunganya. Kepentingannya pula adalah untuk melahirkan individu yang berilmu pengetahuan. Hal ini kerana, membacalah yang menghubungkan antara manusia dengan segala ilmu pengetahuan, seperti cogan kata 'Membaca Jambatan Ilmu'.

         Walaubagaimanapun, berdasarkan kajian, rakyat Malaysia hanya membaca dua buah buku setahun. Hal ini amat berbeza bagaikan langit dan bumi jika dibandingkan dengan bilangan buku yang dibaca oleh rakyat Jepun . Justeru, kita perlulah mencari formula terbaik untuk menjadikan rakyat Malaysia gemar membaca. Oleh itu, tanpa menuding jari ke arah orang lain kerana dikhuatiri bagai menepuk air di dulang, terpercik ke muka sendiri, sebagai seorang pelajar dan remaja kita perlulah mencari inisiatif dan cara yang efektif untuk menjadikan membaca itu amalan hidup.

         Memang tidak dapat disangkal lagi, usaha yag pertama ialah atas diri remaja sendiri.   Remaja perlulah rajin pergi ke perpustakaan. Seperti yang kita ketahui Malaysia tidak pernah ketandusan perpustakaan. Tamsilnya, perpustakaan sekolah, perpustakaan awam dan perpustakaan bergerak. Di sini, remaja dapat membaca dan meminjam pelbagai jenis buku untuk meningkatkan ilmu pengetahuan. Walaupun perpustakaan yang dipenuhi dengan buku itu ibarat lautan yang terbentang luas yang tidak dapat diterokai, remaja perlulah sentiasa berusaha dan rajin ke perpustakaan untuk membaca. Walaupun sekadar sebuah buku seminggu, ilmu yang diperoleh amat besar nilainya. Remaja juga boleh melakukan lawatan sambil belajar ke Perpustakaan Negara atau perpustakaan di universiti – universiti terkemuka di Malaysia. Selain dapat menyemai minat membaca dalam diri , remaja juga dapat melihat kecanggihan teknologi yang terdapat di situ, bak peribahasa, sambil menyelam minum air. Dengan itu , remaja perlulah rajin mengunjungi perpustakaan agar sentiasa terdorong untuk membaca.

          Selain itu , remaja juga boleh ikut serta secara aktif dalam program NILAM atau Nadi Ilmu Amalan Membaca. Hal ini kerana, NILAM berfungsi untuk menarik minat para pelajar membaca dalam kuantiti yang banyak. Melalui program ini , remaja perlu membaca dua versi buku iaitu Bahasa Melayu dan Bahasa Inggeris dan kemudiannya direkodkan di dalam Buku Nilam. Pelajar yang membaca dalam kuantiti yang banyak akan diberi penghargaan bermula daripada gangsa, perak, emas dan seterusnya nilam. Malah, pelajar yang aktif juga boleh mewakili sekolah ke peringkat yang lebih tinggi iaitu peringkat daerah, negeri dan kebangsaan. 

       Tambahan pula, remaja juga perlu menjadikan amalan membaca sebagai hobi pada masa senggang . Aktiviti ini jauh lebih baik berbanding remaja melakukan aktiviti-aktiviti yang membawa remaja ke arah negatif. Daripada remaja membiarkan masa yang terluang terbiar begitu sahaja, remaja perlu mengisinya dengan membaca kerana masa itu emas. Contohnya, remaja boleh menyusun jadual untuk membaca pada hujung minggu atau pada masa cuti persekolahan.  Marcus Aurelis pernah berkata,“jangan membuang masa memikirkan bagaimana untuk menjadi orang yang baik, sebaliknya mulakan dengan diri sendiri dahulu” . Di sini jelaslah bahawa remaja itu sendiri perlu menggalakkan dirinya  sendiri agar sentiasa membaca pada waktu senggang.

         Seterusnya , remaja juga boleh membuat langganan buku pada setiap bulan . Buku- buku atau majalah yang dilanggan bukanlah sekadar berunsurkan tarbiah sahaja tetapi juga bercorak santai . Tamsilnya, Dewan Siswa, majalah i-sihat dan Solusi . Di manakah remaja boleh melanggan buku-buku tersebut ? Remaja boleh melanggannya di kedai-kedai buku , internet atau meminta bantuan guru di sekolah untuk melanggan. Impaknya, remaja akan sentiasa membaca pada setiap masa, menjimatkan masa dan dapat mengetahui perkembangan terkini apabila melanggan buku pada setiap bulan. Remaja perlulah sentiasa berusaha mencari pelbagai jenis buku dengan cara melanggan buku pada setiap bulan. Persis kata peribahasa di mana ada kemahuan, di situ ada jalan.

          Remaja juga boleh menjadikan individu yang gemar membaca dan sentiasa dekat dengan buku sebagai idola . Sebagai contoh, A.Samad Said yang terkenal dengan karya puisinya, Profesor Diraja Ungku Aziz, Mary Renault dengan buku-buku sejarahnya dan penulis tersohor, Sharifah Abu Salim . Apabila remaja menjadikan mereka sebagai idola, remaja akan sentiasa terdorong untuk membaca dan menjadi seperti mereka. Positifnya, remaja akan sentiasa menjadikan idola mereka itu sebagai hala tuju. Hal ini kerana, ketekalan dan kejituan mereka dalam usaha menulis buku untuk dijadikan bahan rujukan harus dihargai dan dijadikan pendorong . Justeru, remaja haruslah menjadikan tokoh-tokoh tersohor ini sebagai idola berbanding dengan menjadikan artis sebagai pujaan hati mereka. 

         Usaha yang terakhir ialah berkawanlah dengan rakan sebaya yang gemar membaca atau lebih dikenali sebagai ulat buku. Hal ini demikian kerana, pengaruh rakan sebaya amat kuat semasa peringkat remaja.  Sekiranya rakan-rakan remaja terdiri daripada mereka yang suka membaca pelbagi bahan bacaan, lama-kelamaan, remaja juga akan terikut-ikut dan terbiasa dengan amalan membaca.  Bak kata pepatah alah bisa tegalbiasa.   Dengan itu , remaja perlulah arif memilih rakan.  Jika remaja tersilap langkah dalam memilih rakan, tidak mustahil mereka akan menjadi duri dalam daging dalam hidup kita. 

         Konklusinya , sebagai seorang remaja kita perlulah sentiasa berusaha memajukan diri untuk jaminan masa hadapan. Hal ini kerana, remaja adalah pewaris tampuk kepimpinan negara. Remaja merupakan aset negara kerana pemuda harapan bangsa, pemudi tiang negara. Janganlah biarkan usia remaja dipenuhi dengan perkara sia-sia. Kontradiksinya, penuhilah masa remaja kita dengan aktiviti yang berfaedah seperti amalan membaca. Remaja perlu berpegang teguh dan jitu dengan slogan “Membaca itu Jambatan Ilmu” dan “Rakyat Membaca , Bangsa Berjaya” seperti yang diuar-uarkan oleh Perdana Menteri Malaysia kita , Dato’ Seri Najib bin Abdul Razak “generasi berpengetahuan merupakan tunjang untuk mencapai wawasan 2020 bagi menjadikan Malaysia sebagai sebuah negara maju”. 

  

6 ulasan:

Tanpa Nama berkata...

ejaan nama marcus aurelius salan :(:(

Sarah berkata...

Boleh tak cikgu bagi tips cara nak lulus peperiksaan bahasa Melayu tingkatan2 2020; yang akan tiba pada minggu depan?

Unknown berkata...

bagus larangan bnyk memberi manfaat

Unknown berkata...

bnyk gila pengsan org nk salin

Unknown berkata...

Kkkkkkk

Tanpa Nama berkata...

Terima kasih Cikgu Kalsom

Perkongsian yang bermanfaat..saya ambil untuk anak saya..moga cikgu diberikan kebaikan dunia dan akhirat atas perkongsian ilmu
ini.