HALAMAN 2

Sabtu, 22 Jun 2013

REFLEKSI - Kepentingannya dalam Pengajaran dan Pembelajaran


13 Syaaban 1434H





        Pada hari Khamis bersamaan 20 Jun 2013 sekumpulan pegawai dari PPD Batu Pahat telah berkampung di sekolahku.  Difahamkan tujuan utama kunjungan mereka ialah untuk membuat penyeliaan PdP guru beberapa mata pelajaran dan seterusnya menyaksikan pembentangan Audit Akademik Peperiksaan Pertengahan Tahun sekolah kami.  Seperti biasa selepas selesai semua urusan, semua pentadbir diketuai Tuan Pengetua berkumpul untuk sesi laporan dapatan hasil pemantauan pegawai-pegawai tersebut.

        Pegawai-pegawai PPD telah sempat memantau PdP beberapa orang guru bagi mata pelajaran Sains, Bahasa Melayu, Bahasa Inggeris dan Kemahiran Hidup.  Saya tidak berhasrat menulis tentang laporan tersebut secara terperinci tetapi ingin fokus pada satu kelemahan yang dilaporkan  iaitu penulisan Refleksi dalam Rancangan Pelajaran Harian (RPH) guru.

Sebenarnya, sepatutnya semua guru sudah sedia maklum tentang tiga komponen 
penting RPH iaitu objektif, aktiviti untuk mencapai objektif dan refleksi.

         Kelemahan yang ketara ialah penulisan yang terlalu umum dan tidak 
menjurus pada objektif pelajaran;

Contoh Refleksi yang tidak tepat:   

-   Proses PdP  berjalan lancar seperti yang dirancangkan.
-   Proses PdP berjalan lancar dan objektif tercapai.
-   Semua pelajar mengambil bahagian dalam aktiviti PdP

Penulisan refleksi yang tepat mestilah jelas boleh diukur dan menjurus pada
objektif  PdP .

Contoh Refleksi yang baik:  (contoh mata pelajaran Bahasa Melayu)

Tajuk      :     Petikan Rencana Faedah Kitar Semula
Objektif  :     Pada akhir pelajaran diharap pelajar dapat
                      i)   membaca kuat petikan rencana dengan intonasi yang betul
                      ii)  menyenaraikan sekurang-kurangnya 5 isi penting tentang faedah 
                           kitar semula

Contoh Refleksi 1
                   -      Semua pelajar dapat menyenaraikan di dalam buku latihan 5 isi         
                           penting tentang  faedah kitar semula (atau)
                   -       30/30 orang pelajar dapat menyenaraikan 5 isi penting 
                           yang terdapat dalam petikan  rencana.

Contoh Refleksi 2.  
             -            25/30 orang pelajar dapat menulis ringkasan lengkap.  
                          5 orang pelajar perlu bimbingan dalam menyusun isi dalam petikan

(melalui refleksi ini , 5 orang pelajar yang telah dikenal pasti itu akan diberikan lebih 
perhatian dalam latihan mengenal pasti isi dalam petikan untuk PdP yang akan
datang.)


 APAKAH PERANAN REFLEKSI?

Pertamanya,  dengan melakukan refleksi ianya membolehkan guru membuat penilaian kendiri. Oleh itu secara tidak langsung guru dapat berfikir secara analitik, kritis dan kreatif semasa menilai semula pengajarannya. Untuk mengatasi masalah atau mengubah amalan pengajarannya, guru dapat melihat, mengkaji dan menentukan alternative-alternatif dalam membuat keputusan. Antara peranan utama refleksi dalam amalan seorang guru ialah dapat menentukan justifikasi untuk mengubah tingkalaku atau amalannya.

Ringkasnya, dalam belajar mengajar, refleksi membolehkan seseorang guru:
• membuat penilaian kendiri
• berfikir secara analitik, kritis dan kreatif
• menganalisis perkara-perkara penting proses bekerja dan hasil kerja
• melihat alternatif-alternatif dalam membuat keputusan
• mencari jalan penyelesaian berasaskan ciri-ciri spiritual, moral, nilai & estetika
• mengubah tingkahlaku

Semoga dapat memberi manfaat bersama.







Tiada ulasan: