HALAMAN 2

Khamis, 20 Jun 2013



Sejarah Bulan Syaaban Dan Amalannya

السلام عليكم ورحمة الله وبركاته
Hari ini 11 Syaaban 1434H - Kali ini cikgu kongsikan pula sejarah , peristiwa-peristiwa penting yang berlaku dalam bulan ini dan amalan yang terdapat di dalam bulan Syaaban yang mulia ini.  
Semoga dapat menambahkan ilmu dan seterusnya memperbanyakkan amalan untuk mendapat keredhaan Allah.   
Bulan Syaaban berkedudukan kelapan dalam tahun Hijrah dan merupakan bulan kedua selepas Rejab yang penuh dengan keberkatan dan kemulaan. Syaaban berasal daripada perkataan ‘sya’ba’ yang bermaksud berpecah dan menyimpang.
Nabi Muhammad SAW bersabda: “Dinamakan Syaaban (berserak-serak) kerana padanya terdapat amat banyak kebajikan yang berserak-serak dan puasa yang lebih afdal sesudah Ramadan ialah puasa  bulan Syaaban.”
Syaaban juga membawa maksud ‘bulan pemisah’ kerana ia memisahkan antara bulan Rejab dan Ramadan. Jika Rejab dianggap sebagai bulan ujian dan Ramadan sebagai bulan latihan, maka Syaaban yang mulia ini adalah sebagai bulan persediaan dan persiapan melakukan kebaikan sebanyak mungkin termasuk memerangi nafsu.
Di samping memohon doa, digalakkan juga untuk bertaubat dan memohon keampunan di atas keterlanjuran di sepanjang bulan ini. Sabda Nabi SAW:  “Sya’aban adalah bulanku dan Ramadhan adalah bulan umatku. Syaaban ialah mengkifaratkan (menghapuskan) dosa dan Ramadhan ialah menyucikan dosa (jasmani dan rohani).”
Sambutlah kedatangan Syaaban dengan keinsafan dan kesedaran serta peringatan bahawa perjuangan sebagai seorang insan masih belum berakhir.  Perbanyakkan amal soleh, berpuasa dan solat sunat serta menolong meringankan penderitaan fakir dan miskin serta anak-anak yatim.

Peristiwa Penting Di Bulan Syaaban
Antara peristiwa penting di dalam bulan Syaaban adalah;

 1)     Malam Nisfu Syaaban
Dari Abi Hurairah ra dari Nabi Muhammad SAW bersabda: “Telah datang Jibril a.s pada malam Nisfu Syaaban dan dia berkata , Ya Muhammad,pada malam ini pintu-pintu langit dan pintu-pintu rahmat dibuka, maka berdirilah dan kerjakan sembahyang lalu angkatlah kepalamu dan kedua tanganmu ke langit !”  Kata saya (Nabi Muhammad): “Hai Jibril, apakah erti malam ini ?”  Dia (Jibril) menjawab: “Pada malam ini telah dibuka 300 pintu rahmat, maka Allah telah mengampuni orang-orang yang tidak mensyirikkan Allah dengan sesuatu kecuali ahli sihir, bomoh hitam, orang-orang yang suka permusuhan / pergaduhan, peminum arak, orang-orang yang berbuat zina, pemakan riba, orang-orang yang derhaka kepada kedua orang tua, orang-orang yang suka mengadu domba (batu api) dan orang-orang yang memutuskan tali persaudaraan, maka sesungguhnya mereka itu tidak akan diampuni kesalahannya sehingga mereka mahu bertaubat dan tidak akan mengulang lagi atas perbuatannya itu.”


Maka pergilah Nabi Muhammad SAW mengerjakan solat serta menangis di dalam sujudnya sambil membaca : “Ya Allah sesungguhnya aku berlindung kepadaMu dari seksaMu dan murka Mu dan aku tidak menghitung-hitung pujian kepadaMu, sebagaimana Engkau memuji kepadaMu sendiri, maka segala puji bagiMu sehingga Engkau redha.”  (Dipetik dari Kitab Zubdatul Wa’idzin.)

2)     Pertukaran Arah Kiblat
      
Selepas sampai ke Madinah al-Munawarah, Rasulullah SAW dan para sahabat bersolat berkiblatkan Baitulmaqdis selama lebih kurang enam belas atau tujuh belas bulan.

Pada 15 Syaaban tahun kedua Hijrah ketika Rasulullah SAW dan jemaahnya sedang bersolat Asar di dalam Masjid Quba’, berlaku peristiwa penting kepada Rasulullah SAW dan Muslimin iaitu peristiwa pertukaran arah kiblat dari mengadap Masjidil al-Aqsa di Baitulmuqadis (Bait al-Maqdis) ke arah Masjidil Haram (Baitullah Kaabah) di Makkah al-Mukaramah. Masjid tersebut kini dikenali  juga sebagai Masjid Qiblatain (masjid dua kiblat).

      Pertukaran kiblat menjadi isu besar di Madinah. Orang Yahudi mengambil kesempatan menabur fitnah memperlekehkan dakwah Rasulullah SAW. Lalu diturunkan ayat 142 Surah al-Baqarah: “Akan berkata orang-orang yang kurang akalnya: ”Apakah yang memalingkan mereka (umat Islam) dari kiblat mereka (Baitulmaqdis) yang dahulunya mereka telah berkiblat kepadanya. Katakanlah: ”Kepunyaan Allah timur dan barat, dia memberi petunjuk kepada sesiapa yang dikehendaki-Nya ke jalan yang lurus.”
      Peristiwa ini berlaku pada pada bulan Syaaban. Kebenaran daripada Allah SWT untuk kembali berkiblatkan Kaabah adalah contoh doa Rasulullah SAW yang dikabulkan oleh Allah SWT. Ini kerana Rasulullah SAW sudah lama mengangkat tangannya berdoa dan memandang ke langit meminta pertukaran kiblat ke Kaabah. Permintaan     Rasulullah SAW tersebut telah diperkenankan oleh Allah swt pada bulan Syaaban.
      Firman Allah SWT: “Kerap kali kami melihat engkau (wahai Muhammad) berulang kali menadah ke langit, maka kami benarkan engkau berpaling mengadap kiblat yang engkau sukai, oleh itu palingkan muka ke arah Masjidil Haram (tempat letaknya Kaabah) dan di mana saja kamu berada, maka hadaplah mukamu ke arahnya. Sesungghunya orang (Yahudi dan Nasrani) yang diberikan kitab, mereka mengetahui bahawa perkara (berkiblat ke Kaabah) itu adalah perintah yang benar daripada tuhan mereka dan Allah tidak sekali-kali lali akan apa yang mereka lakukan.”


Keutamaan Syaaban
Kelebihan Syaaban berbanding bulan lain ialah seperti kelebihan Rasulullah SAW terhadap semua nabi, manakala keutamaan bulan Ramadan berbanding dengan semua bulan adalah seperti keutamaan Allah SWT kepada hamba-Nya.
Baginda SAW menyatakan bahawa bulan Syaaban sebagai bulan baginda, di mana baginda banyak melakukan amal ibadah. Umatnya sepatutnya turut mencontohi baginda memperbanyak melakukan amal.
Dalam hadis yang diriwayatkan oleh Abu Umamah, Baginda SAW bersabda: “Sucikan diri kamu dalam Syaaban dan elokkan niat kamu untuknya. Sesungguhnya kelebihan Syaaban daripada bulan lain seperti kelebihanku daripada kamu.”
Sabda Rasulullah SAW lagi: “Sesiapa yang mengagungkan Syaaban dan bertakwa kepada Allah serta melakukan ketaatan kepada-Nya dan menahan diri daripada berbuat maksiat, maka Allah Taala akan mengampunkan dosanya dan menyelamatkannya di dalam tahun itu daripada segala macam bencana dan penyakit.” (Dipetik dari kitab Zubdatul Wa’izhin)

Kemuliaan Syaaban memberi rahmat, pengampunan dan ganjaran pahala berganda kepada sesiapa yang benar-benar menghidupkannya:
  • Syaaban mempunyai kelebihan sebagai bulan untuk beramal ibadat. Setiap amal kebajikan akan Allah gandakan sebanyak 700 kali ganda.
  • Syaaban mengandungi keutamaan dan kebaikan yang banyak. Allah akan menurunkan Rahmat-Nya dan memberikan pengampunan kepada hamba-Nya.
  • Allah memberkati jika melaksanakan amal soleh atau ibadat dengan penuh kesungguhan serta keikhlasan.
  • Sesiapa yang berpuasa 3 hari di awal, pertengahan dan akhir Syaaban, maka Allah kurniakan pahala 70 orang nabi, pahala beribadat selama 70 tahun dan jika meninggal pada tahun itu maka ia akan mendapat pahala mati syahid.
  • Sesiapa yang bangun menghidupkan malam nisfu Syaaban dengan banyak bersolat sunat, berdoa, berzikir, berselawat, bertasbih, dan membaca al-Quran, maka Allah akan bukakan 300 pintu rahmat disamping doanya tidak akan ditolak.
Siti Aisyah r.a. berkata: “Bulan yang lebih dikasihi oleh Rasululah SAW ialah bulan Syaaban.”
Amalan-Amalan Sunat Bulan Syaaban
Di antara amalan-amalan yang digalakkan dalam bulan Syaaban adalah memperbanakkan:

1.  Puasa sunat.
Syaaban adalah antara bulan yang paling dicintai oleh Rasulullah SAW dimana baginda lebih banyak berpuasa di dalamnya.
Daripada Abi Salamah daripada Sayyidatina Aisyah r.a katanya: “Rasulullah SAW seringberpuasa sehingga kita mengatakan dia tidak berbuka (puasa berterusan ) dan Baginda SAW berbuka sehingga kami berkata dia tidak berpuasa (berbuka terus). Dan aku tidak pernah melihat Rassulullah SAW menyempurnakan puasa sebulan penuh melainkan pada bulan Ramadhan dan aku tidak pernah melihat Baginda SAW lebih banyak berpuasa melainkan pada bulan Sya’ban.” (Hadis riwayat Imam Bukhari r.a. dan Imam Muslim r.a.)
Usamah bin Zaid bertanya kepada Nabi SAW mengapa baginda banyak berpuasadalam Bulan Syaaban, maka Baginda SAW pun menjawab: “Syaaban berada di antarabulan Rejab dan Ramadan, manusia sering  lalai mengenainya. Ia merupakan bulan yang diangkat segala amalan (dan dilaporkan) kepada Tuhan Rabbil Alamin (Tuhan Seluruh Alam) dan aku suka jika amalanku diangkat ketika aku berpuasa”. Usamah bertanya lagi: Aku melihat engkau berpuasa pada hari Isnin dan Khamis dan tidak mengabaikan kedua-dua hari itu. Sabda baginda S.A.W : “Sesungguhnya segala amalan semua hamba akan diangkat pada kedua-dua hari itu maka aku lebih suka tidak diangkat amalanku melainkan bersamanya aku berpuasa.” (Hadis riwayat Imam Ahmad r.a., An-Nasai r.a. dan Imam Al-Baihaqi r.a.).
Sayyidatina Aisyah r.a juga menyebut: “Aku tidak pernah melihat Rasulullah SAWberpuasa dalam bulan lain lebih daripada puasa Syaaban. Baginda pernah berpuasa Syaaban sepenuhnya, kecuali hanya beberapa hari (tidak puasa)”(Riwayat al-Bukhari dan Muslim).
Rasulullah SAW bersabda: “Sesiapa yang berpuasa tiga hari pada permulaan Syaaban dan tiga hari pada pertengahan Syaaban dan tiga hari pada akhir Syaaban, maka Allah mencatat untuknya pahala seperti pahala tujuh puluh nabi dan seperti orang-orang yang beribadat kepada Allah Taala selama tujuh puluh tahun dan apabila dia mati pada tahun itu maka dia seperti orang yang mati syahid.”  (Durratun Nasihin)

2.  Bertaubat dan Beristighfar.
Digalakkan juga untuk bertaubat dan memohon keampunan di atas keterlanjuran di sepanjang bulan ini. Taubat ialah pembersihan rohani kerana taubat itu menjadi tuntutan dalam agama supaya setiap diri individu yang sememangnya tidak ma‘shum ini melakukan taubat pada setiap masa dan ketika.
Sabda Nabi SAW:  “Sya’aban adalah bulanku dan Ramadhan adalah bulan umatku. Syaaban ialah mengkifaratkan (menghapuskan) dosa dan Ramadhan ialah menyucikan dosa (jasmani dan rohani).”
Daripada Ibn `Abbas, Rasulullah SAW bersabda: “Sesiapa yang selalu memohon ampun (membanyakkan istighfar), nescaya Allah menjadikan untuknya setiap kesusahan itu ada kesenangan, setiap kesempitan ada jalan keluar dan dia diberi rezeki yang tidak disangka.”(Hadis riwayat Ahmad, Abu Daud dan Ibn Majah.)

3.  Berzikir
Zikir ialah ucapan yang dilakukan dengan lidah atau mengingati Allah SWT dengan hati, dengan ucapan atau ingatan yang mempersucikan Allah SWT dan membersihkanNya dari sifat-sifat yang tidak layak untukNya.
Allah SWT berfirman: “Wahai orang yang beriman, sebutlah akan Allah dengan sebutan yang banyak.” Firman-Nya lagi: “Sebutlah (zikir) akan Allah dengan sebutan yang banyak semoga kamu mendapat kemenangan.”
Rasulullah SAW menjelaskan zikir mengingati Allah SWT termasuk dalam amalan mulia dan berkedudukan tinggi. Sabda Baginda SAW: “Hendakkah aku khabarkan kepada kamu amalan yang paling baik dan paling suci di sisi Pemilik kamu dan yang paling tinggi pada darjat kamu dan lebih baik daripada emas dan perak dan lebih baik daripada kamu membunuh musuh kamu atau dia membunuh kamu di medan jihad?” Sahabat bertanya: “Apakah dia wahai Rasulullah?” Jawab Baginda SAW: “Zikrullah.”
Zikir juga mempunyai kelebihan. Dengan mengingati Allah sebanyak-banyaknya, hati tenang dan tenteram. Ia dijamin oleh Allah Yang Maha Mengetahui sebagaimana firman-Nya:“Orang yang beriman dan tetap hati mereka dengan menyebut akan Allah, ketahuilah bahawasanya dengan menyebut akan Allah itu menenangkan hati.”

 4.  Berselawat
Berselawat kepada Nabi Muhammad SAW adalah salah satu bukti kecintaan seseorang itu kepada Allah SWT. dan Rasulullah SAW, selain mengerjakan segala suruhan Allah dan meninggalkan segala larangan-Nya.
Firman Allah SWT: “Sesungguhnya Allah dan para malaikat-Nya berselawat kepada Nabi. Hai orang-orang yang beriman berselawatlah kamu kepadanya dan ucaplah salam penghormatan kepadanya.”   (Surah Al-Ahzab: 56).
Dikutip dari buku al-Fawaaidul Mukhtaaroh Diceritakan bahwa Ibnu Abiy as-Shoif al-Yamaniy berkata, “Sesungguhnya bulan Sya’ban adalah bulan sholawat kepada Nabi saw, karena ayat Innallooha wa malaaikatahuu yusholluuna ‘alan Nabiy … diturunkan pada bulan itu”. (Ma Dza Fiy Sya’ban?)

5.  Berdoa
      Doa dipohon sebagai tanda menginsafi dan menyedari diri manusia sangat lemah dan tidak mampu untuk menunaikan segala keperluan hidup. Firman-Nya: “Dan apabila hamba-Ku bertanya kepadamu mengenai Aku, maka (jawablah), bahawasanya Aku adalah dekat. Aku mengabulkan permohonan orang yang berdoa apabila dia memohon kepadaku, maka hendaklah mereka itu memenuhi (segala perintah)-Ku dan hendaklah mereka beriman kepada-Ku, agar mereka selalu berada dalam kebenaran.”   (Surah al-Baqarah, ayat 186).

Rasulullah SAW bersabda: “Lima waktu tidak ditolak sesuatu doa itu iaitu pada malam Jumaat, malam 10 Muharam, malam Nisfu Syaaban, malam Aidilfitri dan malam Aidiladha.” (Riwayat Bukhari, Muslim dan Abdullah Umar.)
Rasulullah SAW bersabda: “Pada tiap malam, Rabb kita turun ke langit dunia ketika bersisa sepertiga malam yang akhir. Maka Allah berfirman: Sesiapa yang berdoa kepada-Ku, pasti akan Kukabulkan, dan siapa yang memohon kepada-Ku, pasti akan Kuberi, dan siapa yang mohon ampun kepada-Ku pasti akan Kuampuni.”   (Riwayat Malik, Bukhari, Muslim dan Tirmidzi)
6.  Berqiamullail Dan Meghidupkan Malam Nisfu Syaaban
Sunat  menghidupkan malam 15 Syaaban dengan membaca zikir dan Al Quran kerana malam tersebut adalah malam yang amat mustajab dan penuh rahmat.
Daripada Muaz bin Jabal dan Abu Musa Al-Asy’ari r.a. bahawa Rasulullah SAW telah bersabda; “Sesungguhnya Allah pada malam Nishfu Sya’ban memerhati (mengawasi) seluruh mahluk-Nya dan mengampuni semuanya kecuali orang musyrik atau orang yang bermusuhan.” (Riwayat Ibnu Majah, Ibn Habban, Al-Baihaqi dan At-Thobarani)

Diriwayatkan dari Ali bin Abi Thalib KW bahwa Rasulullah SAW bersabda, “Jika malam Nishfu Sya’ban tiba, maka solatlah di malam hari, dan berpuasalah di siang harinya, karena sesungguhnya pada malam itu, setelah matahari terbenam, Allah turun ke langit dunia dan berkata, ‘Adakah yang beristighfar kepada Ku, lalu Aku mengampuninya, Adakah yang memohon rezeki, lalu Aku memberinya rezeki , adakah yang tertimpa bala’, lalu Aku menyelamatkannya, adakah yang begini, adakah yang begini, demikian seterusnya hingga terbitnya fajar?” (Riwayat Ibnu Majah).

7.  Berbuat Baik Dan Bersedekah,
Sambutlah kedatangan Syaaban dengan keinsafan dan kesedaran. Perbanyakkanlah amal soleh dan menolong meringankan penderitaan fakir dan miskin serta anak-anak yatim.
Bersedekah suatu amalan yang suci murni lagi terpuji sebagai keperihatinan dengan nasib dan kesusahan orang lain seperti mana yang amat dituntut oleh Islam.
Rasulullah SAW bersabda: “Sebaik-baik amal adalah memberi makan (kepada fakir miskin dan anak yatim) dan memberi salam kepada orang yang engkau kenal dan orang yang engkau tidak kenal.”  (Riwayat Bukhari,Muslim dan Nasa’i)

8.  Beristiqomah
       Baginda SAW juga menggalakkan agar kita melakukan sesuatu yang baik terutama dalam ibadat khusus seperti solat sunat, puasa dan sedekah. Ia mestilah dilakukan secara berterusan walaupun sedikit kerana  beristiqomah dalam melakukan amalan kebaikan akan mendatangkan perasaan untuk menghisab dan menghitung diri sendiri secara berterusan dan akhirnya melahirkan individu yang sentiasa mengingati Allah
      Daripada Abi Salamah; Sesungguhnya Sayyidatina Aisyhah telah memberitahu: “Nabi SAW tidak banyak berpuasa melainkan pada bulan Syaaban dan ada kalanya Baginda SAW telah berpuasa sebulan penuh pada bulan Syaaban. Baginda SAW bersabda:“Lakukanlah amalan yang mana kamu mampu membuatnya; Maka sesungguhnya Allah tidak membebankan (mewajib) kamu sehingga kamu merasa berat dengan bebanan.” Apa yang disukai oleh Rasulullah SAW adalah solat (sunat) yang sentiasa dibuat sekalipun sedikit dan Baginda SAW apabila mendirikan solat, maka Baginda SAW sentiasa berterusan (beristiqomah} di dalam berbuat demikian.”(Riwayat Imam Bukhari r.a. dan imam Muslim r.a.)
      Apabila amal dilakukan secara berterusan ia akan mendatangkan kepada kita perasaan untuk menghisab dan menghitung diri sendiri secara berterusan dan ini akan melahirkan individu yang sentiasa berada dalam ibadat dan mengingati Allah setiap masa dan tempat, sama ada ditikar sembahyang, ketika belajar mahupun ketika berkerja. Akhirnya menyebabkan kita akan merasai hikmat dan kesan daripada amalan tersebut.
      Oleh itu, amatlah baik bagi kita sebagai umat Islam memperbanyakkan amal dan kebajikan, selain menjadi satu medan latihan rohani ke arah mempersiapkan diri menyambut kedatangan bulan Ramadhan al-Mubarak.
      Sesungguhnya bulan Syaaban adalah kesempatan untuk menyuci dan membaiki kecacatan hati dan memperbaiki diri dari segala macam celaan, setelah bulan Rejab lalu kesempatan kita menyucikan badan dan meminta ampun dari segala dosa, manakala pada bulan Ramadhan nanti masa kita untuk menyucikan roh dan menerangkan hati dan jiwa bagi mendekatkan diri kepada Allah SWT.




Tiada ulasan: