HALAMAN 2

Isnin, 10 Jun 2013

Karangan Contoh 2 - Kebaikan Menggunakan Pengangkutan Awam

 Kebaikan Menggunakan Pengangkutan Awam

·         Mengurangkan kesesakan lalu lintas
·         Menjimatkan masa
·         Mengurangkan kos
·         Mengurangkan pencemaran udara
·         Dapat menambah pendapatan negara
Berdasarkan isi-isi penting yang diberi, bincangkan kebaikan-kebaikan
menggunakan pengangkutan awam di negara kita

 .

Dunia kian berkembang pesat termasuklah negara kita Malaysia yang semakin menuju ke status negara maju. Namun demikian, penggunaan pengangkutan awam masih dipandang sepi oleh segelintir masyarakat. Perkhidmatan awam kini adalah lebih baik jika hendak dibandingkan satu dekad yang lalu. Pihak kerajaan telah mengambil tindakan yang sewajarnya dalam menambah baik mutu perkhidmatan pengangkutan awam. Jika diperhalusi, ada berbagai-bagai faedah yang kita peroleh apabila menggunakan pengangkutan awam.
           
            Faedah utama pastinya dapat mengurangkan kesesakan lalu lintas yang sering menghantui jutaan penduduk di bandar-bandar besar. Hal ini bertambah runcing lagi apabila tiba waktu puncak ketika pergi dan pulang dari bekerja. Sekiranya orang ramai sepakat menggunakan perkhidmatan awam untuk ke tempat kerja, pastinya masalah kesesakan ini tidak berlaku. Sebagai contoh, semua orang menggunakan bas awam untuk ke tempat kerja, maka jumlah kereta persendirian di atas jalan raya pastinya berkurangan.


            Selain itu, penggunaan pengangkutan awam juga pasti akan menjimatkan masa individu yang menggunakannya. Hal ini demikian kerana, penggunaan Transit Aliran Ringan (LRT) atau Monorel yang tidak melalui jalan raya pastinya mempercepat masa untuk sampai ke satu-satu destinasi. Stesen-stesen LRT ini juga dibina di tempat-tempat tumpuan orang ramai seperti Pudu Sentral, Kuala Lumpur Sentral dan Pasar Seni. Secara tidak langsung, kita tidak perlu menempuh jalan raya yang sesak dengan kenderaan.

            Di samping itu, apabila kita menggunakan perkhidmatan pengangkutan awam, kita dapat menjimatkan kos pengangkutan. Sebagai contoh, harga petrol yang tinggi dan juga bayaran parkir kenderaan pasti perlu ditanggung jika kita menggunakan kenderaan persendirian ke tempat kerja. Namun demikian, dengan kos yang rendah kita tidak perlu risau dengan kos petrol dan bayaran parkir berkenaan apabila menaiki kenderaan awam. Wang lebihan berkenaan boleh dibuat tabungan kerana sedikit-sedikit lama-lama jadi bukit.

            Seterusnya, indeks pencemaran udara juga dapat dikurangkan jika kita sepakat untuk menggunakan pengangkutan awam untuk ke mana-mana destinasi. Hal ini tidak dapat dinafikan kerana apabila kenderaan di atas jalan raya semakin berkurangan, maka pelepasan gas karbon monoksida yang berbahaya kepada manusia turut berkurangan. Kesannya, kita dapat mengurangkan pencemaran udara dan kesan rumah hijau sekali gus. Secara tidak langsung juga, rakyat Malaysia dapat hidup dengan sihat dan sejahtera.

            Tambahan pula, penggunaan pengangkutan awam yang efisien turut mampu menarik minat pelancong asing untuk berkunjung ke negara kita. Justeru, pendapatan negara akan meningkat seiring dengan penambahan jumlah pelancong tersebut. Hal ini membolehkan pihak kerajaan merangka lebih banyak kemudahan dan prasarana untuk kegunaan rakyat tempatan. Oleh itu, penggunaan pengangkutan awam ini perlu digalakkan demi memastikan kelangsungan penggunaanya dalam masyarakat.

            Kesimpulannya, sudah terang lagi bersuluh, penggunaan pengangkutan awam di negara kita ini mendatangkan seribu satu faedah buat rakyat dan negara. Oleh itu, semua pihak perlu berganding bahu bagai aur dengan tebing bagi memastikan kemudahan yang disediakan ini diselenggara dan dijaga dengan rapi untuk memastikan kelangsungan penggunaannya. Jika semua perkara ini tidak dipandang enteng, tidak mustahil negara kita mampu mencapai status negara maju menjelang tahun 2020 seperti yang dicita-citakan.



Tiada ulasan:

Catat Ulasan

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...