HALAMAN 2

Khamis, 6 Jun 2013

Latihan Ringkasan 1 – Faedah-faedah berpersatuan dalam kalangan belia.




Berdasarkan petikan tersebut, tulis sebuah ringkasan tentang faedah-faedah berpersatuan dalam kalangan belia.  Panjang ringkasan anda hendaklah tidak melebihi 80 patah perkataan.  Anda digalakkan menggunakan ayat sendiri tanpa mengubah maksud asal petikan.


Pelbagai mekanisme boleh dilakukan dalam usaha mengisi erti kemerdekaan negara.  Belia memainkan peranan penting dalam memastikan kemerdekaan terpelihara dan pembangunan negara menyumbang kepada kesejahteraan rakyat.  Antara kaedah bagaimana belia dapat memastikan kelangsungan pembangunan negara berjalan rancak dan meningkatkan makna kemerdekaan ialah menerusi kegiatan berpersatuan.  Berpersatuan dapat meningkatkan pembabitan belia dalam kegiatan sukarela dan kebajikan.
                Di samping itu, kegiatan berpersatuan mampu membudayakan sikap murni belia selaras dengan usaha mewujudkan masyarakat prihatin.  Bagaimanapun, Menteri Belia dan Sukan memberitahu hanya 2.5 juta daripada belia negara ini  yabg berdaftar sebagai ahli dalam pelbagai persatuan belia.  Jumlah itu menunjukkan belia di negara ini tidak gemar menyertai persatuan.  Oleh itu, Kementerian Belia dan Sukan akan sentiasa berusaha menggerakkan pelbagai program bagi memupuk minat belia untuk berpersatuan.
                Pihak kerajaan juga tidak pernah meminggirkan peranan yang dimainkan oleh pihak belia dalam pembangunan negara, sebaliknya segala perancangan dan dasar yang dibuat kerajaan, belia turut diberi perhatian.  Dalam mengimarahkan lagi pembabitan golongan muda dalam persatuan, pertubuhan belia perlu mengorak langkah lebih aktif untuk menarik golongan belia dalam  berpersatuan.  Dalam diri belia pula perlu ditanam bahawa kegiatan berpersatuan sebagai sebahagian ibadat.  Berpersatuan dapat melahirkan masyarakat yang hidup dalam suasana yang harmoni.
                Pemimpin pelajar yang aktif berpersatuan ketika di kampus dapat meningkatkan keyakinan apabila menempuh alam pekerjaan mahupun kehidupan.  Kesan daripada berpersatuan membawa kepada pembentukan peribadi yang lebih berwibawa.  Malah berpersatuan dapat meluaskan pengetahuan dan menambah pelbagai kemahiran diri.  Namun, mahasiswa yang aktif dalam persatuan mesti diiringi pencapaian akademik yang cemerlang.  Seterusnya, peranan belia sentiasa penting sama ada ketika menuntut kemerdekaan atau dalam pembangunan  negara pada masa kini.  Sebenarnya, persatuan  belia sejak dahulu memainkan peranan penting dalam membantu pemimpin masyarakat menentang penjajah dan menuntut kemerdekaan.

(Dipetik dan diubahsuaikan daripada “Belia Tidak Aktif Rugikan Negara”,oleh Dr. Saipon, Berita Harian, 
 30 April 2011)


Berdasarkan petikan di atas, jawab soalan berikut:
i)                    Berikan maksud rangkai kata “meminggirkan peranan”, mengikut konteks dalam petikan di atas.                                                                                                   [2 markah]
ii)                   Naytakan usaha-usaha yang dilakukan untuk mengalakkan golongan belia menyertai kegiatan berpersatuan.                                                                                     [4 markah]
iii)                 Pada pendapat anda, apakah peranan yang perlu dimainkan oleh pihak ibu bapa dan sekolah supaya pelajar aktif dalam kegiatan berpersatuan?                         [4 markah]




Semak jawapan ringkasan di SINI.
Semak jawapan pemahaman di SINI

Tiada ulasan: