Soalan:
Malaysia terkenal
sebagai sebuah negara yang kaya dengan warisan bangunan-bangunan bersejarah.
Huraikan pendapat anda
tentang kepentingan memulihara bangunan-bangunan bersejarah di negara kita.
Analisis soalan:
Tema/Isu
- warisan bangunan bersejarah di negara kita
Tugasan
- huraikan pendapat tentang kepentingan memulihara
bangunan-bangunan
bersejarah
Format - Tiada
Karangan Contoh:
Mutakhir ini, antara isu yang hangat dibincangkan di kedai kopi
sehingga sidang di Dewan Parlimen ialah isu meruntuhkan bangunan bersejarah.
Walaupun keputusan yang telah diambil adalah tidak meruntuhkan
bangunan-bangunan warisan tersebut, namun, terdapat juga negara-negara yang
telah merobohkan bangunan bersejarah seperti di Surabaya, Jakarta. Mengapakah
ada kejadian seperti ini berlaku? Adakah perlu bangunan tersebut
diruntuhkan? Tepuk dada tanyalah selera. Sebenarnya, terdapat pelbagai kepentingannya kita perlu
mengekalkan bangunan bersejarah yang terdapat di negara kita.
Satu daripada kepentingan bangunan bersejarah perlu
dikekalkan ialah bangunan bersejarah atau monumen dapat dijadikan sebagai bukti yang kukuh
kepada sesuatu era atau peristiwa sejarah yang telah berlaku. Monumen, mengikut Kamus Dewan Bahasa
Edisi Keempat bermaksud bangunan yang dibina untuk memperingati seseorang atau
peristiwa penting. Walaupun Malaysia telah mencapai kemerdekaan selama 50
tahun, kesan yang ditinggalkan oleh penjajah kolonial seperti British, Belanda
dan Portugis masih dapat dilihat dan perlu dijaga dan bukanlah untuk
dimusnahkan. Di samping itu, bangunan bersejarah amat penting untuk generasi
kini dan juga generasi yang akan datang kerana dengan kewujudan bangunan
bersejarah, kita dapat membuktikan bahawa sejarah Malaysia yang telah dibukukan
oleh penulis-penulis yang terkenal merupakan sesuatu yang realistik dan
bukanlah cerita-cerita dongeng, mitos atau lagenda. Sebagai contohnya, zaman
kegemilangan bandar pelabuhan Melaka pada abad ke-15 dan abad ke-16 dapat
dirasai dengan wujudnya Pintu Gerbang Porta de Santiago, Gereja Christ,
Bangunan Stadhuys dan Gereja St.Paul. Selain itu, Kota Cornwallis, Masjid
Kling, Gereja St.George di Georgetown, Pulau Pinang dapat mengimbas kembali
detik-detik sejarah negara yang pernah suatu masa dahulu dijajah dan juga dapat
membuktikan berlakunya penjajahan awal pemerintahan British di Semenanjung
Tanah Melayu pada akhir abad ke-18. Tegasnya, usaha meruntuhkan bangunan bersejarah
dan monuman negara tidak wajar dilaksanakan.
Pendapat sesetengah pihak yang mengatakan bahawa bangunan
bersejarah perlu diruntuhkan adalah tidak berasas kerana bangunan bersejarah
dan monumen lama dapat memberikan teladan dan iktibar kepada masyarakat terutamanya remaja kini yang mempunyai
semangat patriotisme yang semakin menipis. Walaupun ada antara bangunan
bersejarah yang hanya menggambarkan sejarah hitam negara namun jika kita
menghayati sejarah di sebalik bangunan tersebut semula serta mengambil pengajaran
daripada peristiwa yang telah berlaku, maka kita dapat terus mara ke hadapan
tanpa mengulangi kesilapan yang telah dilakukan oleh masyarakat terdahulu.
Sebagai contohnya, Kota A Famosa di Melaka yang merupakan sebuah kubu
pertahanan yang kukuh telah dibina oleh Portugis setelah mereka berjaya
menakluki Melaka dapat dijadikan iktibar. Penaklukan ini terjadi kerana
terdapatnya masalah perpaduan, kelemahan kepemimpinan dan juga kelemahan
tentera yang mengawal Melaka. Negara kita juga mampu menjadi negara yang
setaraf dengan negara-negara maju yang lain sekiranya kita tidak mengambil
mudah dan mengambil iktibar daripada sejarah negara. Oleh itu, bangunan
bersejarah di negara kita sememangnya tidak perlu diruntuhkan kerana yang baik
dijadikan teladan, yang buruk dijadikan sempadan.
Bukan itu sahaja, dari sudut pelancongan pula, bangunan bersejarah dan
monumen dapat menarik pelancong baik pelancong tempatan mahupun pelancong dari luar negara
untuk melawat ke negara kita. Bangunan ini juga menjadi salah satu faktor
dominan pelancong bercuti di negara kita selain menyaksikan Menara Berkembar
Petronas. Oleh itu, bangunan bersejarah tidak perlu diruntuhkan sebaliknya
dipulihara dan diubah suai. Sebagai contohnya, bangunan lama hendaklah diubah
suai untuk dijadikan muzium, galeri seni lukis dan pusat pelancongan. Fenomena
ini sudah menjadi suatu perkara biasa di beberapa buah negara Eropah seperti di
England, Perancis, Itali, dan Belanda. Bandar-bandar bersejarah seperti York,
Bath, Oxford, dan Cambridge di England telah berjaya melindungi sebahagian
besar daripada bangunan bersejarah mereka dengan baik. Usaha seperti ini dapat
menarik lebih ramai pelancong dari seluruh dunia dan dapat menjadi sumber
pendapatan negara. Di samping itu, pelancong juga dapat melawat bangunan
bersejarah dan melihat monumen-monumen yang terdapat di sekitar bangunan selain
menikmati keindahan alam semula jadi negara kita dan artifak-artifak di dalam
muzium dan galeri seni lukis. Oleh itu, bangunan dan monumen ini secara tidak
langsung dapat membantu industri pelancongan negara.
Istana Bukit Zaharah - Johor Bahru |
Di
samping itu, bangunan dan monumen lama juga memainkan peranan yang penting
dalam pendidikan di negara kita
khususnya para pelajar dan penyelidik. Pelbagai ilmu yang dapat dipelajari
dengan memahami dan mengkaji bangunan dan monumen lama. Sebagai contohnya,
dengan terdapatnya bangunan dan pancutan air Horse di sekitar Dataran Merdeka
dan Masjid Jamek di pertemuan Sungai Gombak dan Klang di Kuala Lumpur,
seseorang dapat mengetahui bukan sahaja kepentingan Kuala Lumpur dalam era
kolonial British tetapi juga kehidupan dan kebudayaan masyarakat penjajah dan
tempatan pada ketika itu. Bangunan Kelab Di Raja Selangor dan Dataran Merdeka
telah dibina bagi kemudahan sosial dan rekreasi khasnya kepada rakyat British
dan Eropah yang berkhidmat di Tanah Melayu pada akhir abad ke-19. Begitu juga
halnya dengan kepentingan pancutan air Horse yang telah dibina di persimpangan
Jalan Raja dan Jalan Raja Laut pada tahun 1897. Pancutan air Horse dibina
sebagai memperingati seorang inspektor polis negeri Selangor, iaitu Encik Steve
Harper. Pemuliharaan dan penghayatan kemaslahatan bangunan bersejarah persis
peribahasa, yakni “tak kenal maka tak cinta”. Oleh itu, bangunan bersejarah dan monumen sememangnya
mempunyai nilai yang tersendiri.
Secara tuntas, bangunan bersejarah amat penting dalam pembentukan minda
generasi muda negara terutamanya ke arah penghayatan warisan dan khazanah
negara. Bangunan dan monumen yang bersejarah merupakan aset yang patut
dipelihara dan diwarisi dari satu generasi ke satu generasi. Dengan terdapatnya
bangunan bersejarah, generasi baharu akan lebih menghargai dan peka akan
perkembangan sejarah negara. Hal ini akan membentuk sebuah masyarakat yang
sensitif terhadap sebarang perobohan atau pemusnahan bangunan bersejarah.
Sesungguhnya, pihak kerajaan pula perlulah mewartakan bangunan bersejarah
sebagai bangunan yang perlu dikekalkan. Oleh hal yang demikian, mana-mana pihak
yang merobohkan atau memusnahkan bangunan bersejarah, mereka perlulah dikenakan
tindakan undang-undang.
3 ulasan:
bruh
kalau pendekkan ada ubah isi ke?
Catat Ulasan